Monday 17 March 2014

10 Usahawan Perkhidmatan/Servis Yang Berjaya Di Malaysia

1. Hairul Faizal Hussain

Hairul Faizal Hussain (39) adalah pengasas Creative Makeover; sebuah pusat salon kenderaan. Dengan pengalaman selama 18 tahun dalam bidang ubah suai dan solekan kenderaan; syarikatnya menawarkan perkhidmatan solekan bagi semua jenis kenderaan malah aksesori lain seperti topi kaledar, sport rim hinggalah perkakasan seperti peti sejuk.

Creative Makeover bukan sahaja menawarkan servis mengecat dan membuat pelekat papan iklan, untuk mentransformasikan wajah kenderaan, motosikal atau kereta dengan teknik menggunakan pelekat dan airbrush (semburan angin). Malah ada pemilik kenderaan yang sanggup melabur sehingga ribuan ringgit untuk tampil ranggi dan bergaya dengan kenderaan yang meluncur laju di jalan raya.

Dengan dua cawangan Creative Makeover iaitu di Lebuh Raya Persekutuan Batu 3 dan Subang Permai, Shah Alam, Hairul Faizal berkata, apa dicapainya hari ini bermula dengan usaha daripada bawah. Menceritakan sejarah penglibatannya dalam bidang berkenaan, anak ketujuh daripada lapan beradik itu berkata, beliau pernah bekerja makan gaji sebagai pengurus di kedai membuat papan iklan sekitar tahun 1996 sehingga 1998.

Selepas itu, Hairul Faizal menjalankan perniagaan membuat papan iklan sendiri namun dihentikan sehingga pada tahun 2006, selepas premis perniagaannya di Kota Tinggi ketika itu tenggelam akibat dilanda banjir menyebabkannya terpaksa menanggung kerugian.

Tiap kejadian ada hikmahnya ditambah dengan sikap tidak kenal erti putus asa, berbekalkan idea baru dan kemahiran seni yang ada, beliau nekad berhijrah ke Lembah Klang memulakan perniagaan baru, iaitu membuka pusat kecantikan kenderaan, Creative Makeover.

Sumberhttp://www.sinarharian.com.my/stailo/darah-seni-aset-hairul-faizal-1.229900

2. Mohd Zali

En. Mohd Zali adalah pengasas AURA2IMPIAN. Bermula dari perniagaan perkhidmatan penghantaran air minuman, beliau telah mengembangkan barisan produk syarikat beliau kepada sistem penapisan air dalaman dan luaran yang memenuhi keperluan untuk digunakan di pusat perniagaan dan kegunaan peribadi. Syarikat beliau memberi khidmat yang terbaik untuk pelanggan-pelanggan yang berpotensi.

Syarikat beliau adalah sebuah syarikat Bumiputera (dikenali sebagai Impian Kreatif) yang menawarkan perkhidmatan dan pembaikan unit Beyond Water dan Dispenser Air. Syarikat beliau juga menyediakan produk seperti Penapis Air, Unit penulen Udara untuk pejabat dan kediaman, Dispenser air panas dan sejuk, dan pelbagai kerja pemasangan penapis air. Selain itu, ia juga membekalkan Peti Besi Keselamatan (Safety Box) APS.

Sumberhttp://aura2impian.blogspot.com/

3. En. Izuddin

En. Izuddin adalah pengasas syarikat SAS Advisory Services. Syarikat yang berpangkalan di Bangi ini memberikan perkhidmatan menyediakan kertas kerja bagi tujuan mendapatkan pembiayaan bank dan Dana-dana lain. Sehingga kini, beliau telah membantu lebih dari 1,800 usahawan kecil dan sederhana bagi menyediakan kertas kerja dan kertas cadangan serta berjaya memperolehi pembiayaan dari institut kewangan tempatan. Usaha beliau ini telah banyak membantu memajukan syarikat bumiputera yang ingin mengembangkan syarikat mereka juga syarikat yang baru beroperasi.

Antara perkihmatan yang disediakan adalah;
-Kertas Kredit
-Aliran Tunai Perniagaan
-Rancangan Perniagaan
-Lawatan tapak
-Analisa Pasaran
-Laporan Untung Rugi Tahunan
-Laporan Audit
-Dokumen-dokumen lain yang berkaitan.

Beliau mempunyai pengalaman lebih 18 tahun bertugas di Institusi Kewangan, Beliau yakin dapat membantu usahawan-usahawan bagi mempermudahkan setiap permohonan.

Sumberhttp://www.sas-advisory.com/

4. Razak Ahmad

Razak Ahmad, 46, jejaka kelahiran Batu Pahat ,  Johor,  kini namanya meniti di bibir orang kenamaan, korporat, bakal pengantin dan perancang majlis, sebagai individu yang begitu kreatif dalam menghasilkan gubahan bunga yang indah dan mempersonakan. Hasil kreativiti Razak tidak perlu dipertikaikan, tambahan pula pengalamannya selama 18 tahun di luar negara banyak membantu dari segi menghasilkan idea gubahan yang segar, moden dan kreatif.

Minatnya timbul selepas melihat ibunya mengajar pelajarnya di Kemas (Jabatan Kemajuan Masyarakat). Sifat suka melihat negara orang dan peluang yang ditawarkan oleh seorang rakan di Brunei untuk menjaga kedai bunganya di sana merupakan titik tolak bagi Razak untuk lebih serius dalam bidang gubahan bunga. Menganggapnya sebagai satu cabaran, Razak mengorak langkah merantau lebih jauh dengan menjadi prep boy di sebuah syarikat penggubah bunga, Flowers By Byron di Chicago, Amerika Syarikat.  Setelah menimba pengalaman dan mendapat rangkaian perniagaan yang baik, Razak mencuba nasib di sebuah syarikat, Flowers By Arrangement juga di Chicago, sebagai penasihat perkahwinan. Pada masa sama, beliau juga bekerja sambilan di beberapa syarikat lain seperti The Flower Firm, Kehoe Designs dan Virginia Wolf. Setelah beberapa tahun di sana, Razak berhijrah ke Los Angeles apabila mendapat peluang berkhidmat dengan Kevin Lee di LA Premier, yang menjalankan perkhidmatan gubahan bunga untuk selebriti Hollywood dan movie premiers.

Di LA Premier, Razak bukan sahaja terdedah dengan trend gubahan terkini, malah berpeluang menggubah bunga untuk beberapa selebriti terkenal seperti Cameron Diaz, Brad Pitt, Jennifer Aniston, Keanu Reeves, Anthony Hopkins dan ramai lagi. Kemudian beliau berhijrah ke Korea Selatan dan menetap selama lapan bulan di sana. Walaupun banyak yang dapat dipelajari, beliau tidak dapat menetap lama di Korea kerana masalah komunikasi, kebetulan pula ibu beliau meminta pulang ke Malaysia dan memulakan perniagaan di tanah air sendiri.

Pulang ke Malaysia pada tahun 2004, memberi beliau masa untuk mengkaji pasaran gubahan bunga di negara ini. Dengan kesungguhan, wang dikumpul dan pengalaman 18 tahun di luar negara, telah meyakinkan pihak Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) untuk membiayai pembukaan kedai bunga dan perancang majlis yang diberi nama Flora. Bertempat di Suite 2.07, The Ampwalk, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, Razak memulakan tugasan pertamanya dengan menggubah bunga segar pada majlis perkahwinan Datuk Nazim Abdul Razak dengan personaliti TV popular, Datin Norjuma Habib Mohamad. Ramai yang terpegun melihat gubahan beliau. Bermula daripada perkahwinan VIP, Razak turut menjadi perancang majlis dan penggubah bunga untuk meraikan kerabat kerabat diraja, orang kenamaan dan untuk majlis keraian syarikat-syarikat korporat. Selain itu, beliau juga menghasilkan jambangan bunga untuk raja permaisuri, isteri-isteri menteri juga selebriti tanah air.

Kini, Razak juga berbangga melihat perubahan mentaliti rakyat Malaysia yang semakin ramai inginkan sentuhan penggubah bunga untuk majlis mereka. Walaupun hasil gubahannya untuk majlis bermula daripada RM3,000 ke atas, namun ia berbaloi dengan apa yang dipersembahkan berdasarkan pengalaman yang ada.

Sumberhttp://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0610&pub=utusan_malaysia&sec=keluarga

5. Pn. Siti Aishah Hamdan

Berpegang kepada prinsip kerja 'pelanggan selalu betul dan setiap tempahan harus disiapkan mengikut perjanjian', usahawan percetakan ini terus menempa kejayaan sejak menceburi perniagaan tersebut 15 tahun lepas.
Bagi Pn. Siti Aishah Hamdan, 36, kepercayaan yang diberikan oleh pelanggan tidak harus dipandang sambil lewa, sebaliknya berusaha untuk memberi perkhidmatan yang terbaik. Jadi, tidak hairanlah apabila syarikatnya mendapat kepercayaan daripada syarikat-syarikat besar untuk mendapatkan khidmat percetakan sama ada mencetak banting, sepanduk, kad jemputan, buletin, beg kertas, pembungkusan dan buku.

Mengembali semula nostalgia bagaimana beliau yang bertindak sebagai Pengarah Lactop Sdn. Bhd. Yang terletak di Bandar Sri Damansara, Selangor dan suami, Mohd. Sham Mohd. Salleh, 39, bertungkus lumus memajukan syarikat yang kini menjadi kebanggaan dan punca rezeki mereka, sememangnya amat meruntun jiwa. Kata Siti Aishah, beliau dan suami pernah hidup susah dan masing-masing bekerja di sebuah kilang percetakan dengan pendapatan bersama hanya RM1,000 sebulan. Bahkan, suaminya pernah terpaksa tidur di lokap kerana terbeli motosikal curi bagi memudahkan mereka berulang-alik dari rumah ke tempat kerja. Lebih mengharukan lagi apabila beliau dan suami diberhentikan kerja oleh majikan ketika tinggal beberapa hari lagi umat Islam mahu menyambut Aidilfitri.

Dengan bermodalkan wang simpanan sebanyak RM700, beliau dan suami sepakat menggunakan pengalaman yang ada terutama dalam berurusan dengan pembekal percetakan, memulakan perniagaan percetakan walaupun dalam skala yang kecil. Satu cara sahaja yang difikirkan untuk meneruskan hasrat itu, iaitu dengan menghubungi pembekal percetakan yang kenal rapat dengan beliau semasa bekerja dahulu, meminta bantuan dengan memberi kredit.

Beliau yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu menambah, dengan komitmen yang diberi kepada syarikat yang ditubuhkan pada 1996 dengan nama Bendigo Enterprise sebelum ditukar nama kepada Lactop Sdn. Bhd. pada tahun 1999, beliau mendapat kepercayaan daripada banyak syarikat lain. Rezeki semakin mencurah setelah tahun 1999. beliau mula mendapat projek daripada kerajaan, hotel dan sektor swasta yang lain. Kerja-kerja juga telah bertambah, bukan sahaja sekadar poster dan banting, tetapi telah mendapat kontrak mencetak pembungkusan, beg kertas, buku dan buletin. Pn. Siti Aishah juga mengakui sudah tujuh tahun, beliau dan suami tidak melakukan kerja-kerja pemasaran kerana pelanggan yang membantu memasarkan produk mereka.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0121&pub=Utusan_Malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_01.htm

6. Azhani Jalaluddin

Impiannya untuk membuka kedai dobi tidak pernah luntur meskipun mengetahui ramai telah tewas dan gagal meneruskan perjuangan dalam perniagaan mencabar itu. Malah, ketika menceburi dunia perniagaan itu tiga tahun lalu, dia hampir menjadi sebahagian statistik usahawan bumiputera yang tersungkur kerana gagal mengharungi cabaran perniagaan sukar, tetapi mempunyai potensi besar berkembang dan menguntungkan.

Namun, kini Azhani Jalaluddin, 29, boleh menarik nafas lega kerana pengorbanan yang didasari usaha gigih dan doa membuahkan hasil apabila perkhidmatan Kedai Dobi e-Wash sudah mendapat hati di kalangan masyarakat setempat. Hasil promosi secara berterusan, perniagaan ibu kepada seorang anak itu mula meyakinkan syarikat-syarikat seperti katering, hotel dan restoran untuk mendapatkan perkhidmatan Kedai Dobi w-Wash yang beroperasi No 23, Lorong 1, Jalan Merbok, Taman Impiana di sini.
Pemegang diploma perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata, dia tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam dunia perniagaan dobi ketika menceburi bidang tersebut tiga tahun lalu.
“Saya hanya mempunyai pengalaman bekerja di dua buah bank selama beberapa tahun sebelum berhenti kerja untuk memulakan perniagaan.

“Perkhidmatan dobi dipilih kerana minat dan yakin akan potensi bidang ini, selain ingin membuktikan keupayaan usahawan Melayu untuk berjaya dalam bidang yang masih kurang disertai orang Melayu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Beliau yang mendapat sokongan dan bantuan pengurusan perniagaan daripada suami, Mohammed Irfan, 35, menambah, cabaran awal yang dihadapi adalah untuk mengumpul modal RM200,000. Katanya, usaha beliau mahu menceburi perniagaan itu hampir gagal di peringkat awal lagi apabila permohonan mendapatkan pinjaman daripada agensi kerajaan ditolak.

Tidak mahu mengalah dengan halangan itu, beliau mendapat idea daripada kenalan suami seorang pengurus bank yang menasihatkannya membuat pembiayaan semula kedai milik suami bagi mendapatkan wang untuk dijadikan modal perniagaan dobi. Ditambah dengan wang simpanan, dia akhirnya berjaya membuka kedai dobi dengan menggunakan teknologi terkini syarikat elektronik Electrolux yang masih belum digunakan secara meluas di daerah ini dan sekitarnya. “Cabaran awal adalah mencari pelanggan kerana kawasan premis perniagaan tidak terletak di jalan utama, sebaliknya jalan mati. Persaingan harga dengan kedai lain yang lebih dulu menceburi bidang ini menjadikan tugas menjadi lebih sukar.

“Kesukaran untuk mendapatkan pekerja yang berkualiti dan setia juga merupakan antara cabaran besar,” katanya. Justeru bagi mengatasi masalah itu, tanpa mengira penat dan lelah apatah lagi rasa malu beliau melakukan semua kerja termasuk mencuci, mengering dan menggosok bagi memastikan perniagaannya terus beroperasi. Beliau juga memperuntukkan masa setiap hari melakukan promosi dengan mengedar risalah, bertemu orang ramai dan kenalan bagi meyakinkan orang ramai tentang kebaikan dan keunikan perkhidmatan Kedai Dobi e-Wash.

“Walau sibuk sekali mana pun, saya tetap tidak akan mengabaikan tugas menjaga anak yang ketika itu berusia setahun. Suami hanya dapat membantu selepas dia selesai bekerja,” ujarnya lagi.
Azhani berkata, kelainan yang ditawarkan oleh kedai dobinya adalah teknologi terkini hasil inovatif Electrolux yang membolehkan pakaian bukan sahaja bersih tetapi selamat diguna dan tidak menjejaskan kualiti sedia ada. Bagi membolehkan mengoperasikan teknologi tersebut, dia telah menyertai program Advance Lagoon selama empat hari anjuran Electrolux di Pattaya,Thailand yang turut disertai peserta dari Indonesia, Filipina dan Thailand.

Selain itu, katanya, Kedai Dobi e-Wash mengutamakan konsep Islam bagi memastikan semua pakaian dibasuh dan dibersihkan menepati hukum syarak. “Ini merupakan salah satu faktor mengapa kita hanya mengambil pekerja Islam,” katanya sambil menambah konsep tersebut telah diterima oleh pelanggannya yang terdiri daripada pelbagai kaum. “Sebab itu juga, pelanggan saya tidak rasa was-was menghantar telekung untuk dicuci di kedai ini,” katanya lagi.

Beliau berkata, harga yang ditetapkan berbeza mengikut kaedah cucian. “Jika mengggunakan Wet Clean harga ditetapkan berdasarkan bilangan setiap pakaian tetapi jika cucian biasa ditetapkan pada harga antara RM3 hingga RM5 sekilogram,” katanya. Azhani berkata, sehingga kini Kedai Dobi e-Wash bukan sahaja mendapat perhatian daripada pelanggan beragama Islam tetapi sudah sebati dengan kaum lain termasuk India dan Cina. Malah katanya, keunikan kaedah cucian serta konsep Islam yang diterapkan menyebabkan pelanggannya bukan sahaja datang dari daerah ini, sebaliknya menjangkau sehingga Sitiawan.
Bercerita mengenai perancangan masa depan, Azhani berkata, dia bercadang membuka cawangan baru sama ada di Ipoh atau Sitiawan. “Selain itu saya berhasrat memperoleh sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi menambahkan lagi keyakinan pelanggan terhadap produk dan perkhidmatan Kedai Dobi e-Wash,” katanya.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0510&pub=Utusan_Malaysia&sec=Utara&pg=wu_01.htm

7. Datuk Dr. Maznah Hamid

Datuk Dr. Maznah adalah Pengerusi Eksekutif Kumpulan Securiforce. Beliau telah membawa Securiforce yang tidak dikenali langsung 30 tahun dahulu menjadi sebuah syarikat kawalan keselamatan yang terbesar di Malaysia dan berjaya menyaingi lebih 400 buah syarikat lain seumpamanya.

Beliau kini mengepalai lebih 65 buah cawangan, mengetuai lebih 6,000 kakitangan, dan dikelilingi dengan ratusan senjata api dan puluhan van kalis peluru. Apa yang lebih membanggakan, van kalis peluru tersebut telah direkacipta dan dihasilkan oleh Securiforce sendiri. Ramai juga yang tidak menyedari bahawa perkhidmatan Securiforce bukan terhad kepada ‘static guard’ sahaja malah turut merangkumi logistik, cash-in-transit, pengurusan tunai, high - tech cargo management, perkhidmatan ‘armoured trucking’, dan pelbagai perkhidmatan yang lain. Securiforce memberikan pakej keselamatan yang lengkap dan total, mempelopori konsep ‘total security’.

Hasil daripada kegigihan beliau dan ‘team’nya menerajui syarikat, kini Securiforce mempunyai beberapa buah anak syarikat yang sedang berkembang maju. Antaranya ialah Danau Lumayan, pemaju hartanah di Bandar Tun Razak. membina pangsapuri /kondominium mewah, ‘penthouse’ yang eksklusif dan lot – lot kompleks perniagaan.

Bagi menepati keperluan semasa, Securiforce juga bergiat aktif dan telah melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa dengan menubuhkan Securiforce Logistik (agen penghantaran darat, laut dan udara), beliau telah melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa meliputi rantau Asia, Eropah dan Timur Tengah.  Securiforce Logistik memiliki cawangan di Singapura, Bangkok, China, Korea, Turki dan Jerman. Apa yang menarik mengenai 'success story' Datuk Dr. Maznah ialah kesemua anak syarikatnya ditubuhkan dan berkembang maju tanpa sebarang bantuan kewangan daripada bank. Kejayaan ini, amat dikagumi oleh pelbagai pihak dan segala lapisan masyarakat. Prinsip kejayaan beliau ialah 'modal perniagaan yang sebenarnya adalah dirinya sendiri.

Beliau adalah ibu kepada 5 orang anak dan 4 cucunda. Keluarga merupakan pemangkin utama kejayaan dan sumber inspirasi beliau. Malahan anak-anak juga telah dilatih serta diterapkan semangat keusahawanan semenjak awal lagi. Demikianlah diantara simbol kejayaan beliau sehingga beliau dianggap sebagai model usahawan yang berjaya dan dikagumi masa kini. Maka tidak asinglah jika beliau diberi gelaran “THE IRON LADY”.